Dugaan Hidup


Kehidupan mematangkan kita. Ranjau dunia yang perit serta memori indah yang tersulam merupakan suatu momentum dari Ilahi bagi membersihkan insan daripada segala kelemahan diri.

Setiap perkara yang terjadi, bersamanya ada hikmah yang tersembunyi. Hukamak ada berkata, semakin lambat seseorang insan itu redha atas takdir yang terjadi, maka semakin lambatlah mata hati dapat menyingkap hikmah yang tersirat.

Ahli sufi ada berbicara, semakin tinggi maqam (darjat) seseorang insan menurut Tuhannya, justeru semakin tinggilah dugaan hidup yang ditempuhnya.

Tatkala kita diuji dengan berbagai-bagai onak cabaran yang memeritkan, ingatlah bahawa Allah itu ada. Dia menguji kita supaya dapat memastikan adakah kita seorang hamba yang penyabar serta redha, atau sebaliknya.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..." [Surah al-Baqarah, 2:186]

"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun." [Surah al-Mulk, 67:2]

Kadangkala rencah musibah yang menggoncangkan jiwa bagai dirasa sekadar sia-sia. Namun begitu, ingatlah teman bahawa seorang Muslim tidak akan merasa rugi lantaran janji-janji yang telah terpateri.

"Dari Abu Said al-Khudri radh. dan Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda; Tiada seorang Muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekalipun melainkan diampuni akan dosa-dosanya." [HR Bukhari]

Persis seorang pelajar cemerlang yang gigih menahan segala dugaan demi manggapai segulung kejayaan, begitu juga kehidupan sebagai pertempuran antara nafsu dan Iman. Kesukaran yang melanda memerlukan dominasi Iman yang optimum lantas ligat merencana formasi kesabaran demi manggapai kemuliaan khalifah di muka bumi Allah.

Allah yang Maha Bijaksana sengaja menyembunyikan khazanah kemuliaan amalan Iman dari mata kasar insan agar hanya barisan yang menyemat komitmen yang jitu layak diuji bagi melayakkan pengurniaan darjat yang lebih tinggi diberi.

Solusi kerungsingan yang dirasai sebenarnya bermula dari dalam diri. Ibarat dalam huru-hara kancah peperangan, laskar yang tidak berfikiran tenang akan sukar merangka strategi serangan balas malah tindak-tanduknya akan terburu-buru lalu kemungkinan maut baginya adalah hampir. Redha dan sabar merupakan aset seorang Muslim tatkala mengharungi pancaroba duniawi.

"Dari Anas radh. meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda; Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka (dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya." [HR Tarmizi]

"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan janganlah (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman." [Surah Ali Imran:139]

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah:152-153]

"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepada-Nya, dan menghapuskan kesusahan." [Surah al-Naml :62]

"(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; "sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu adalah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjik hidayat-Nya." [Surah al-Baqarah: 156-157]

Dugaan adalah peringatan. Saat mentaliti leka dek hempasan halusinasi duniawi, dugaan adalah ayat-ayat Tuhan yang mengingatkan hakikat kehidupan duniawi adalah demi ukhrawi. Musibah selaku pengikis dosa menyucikan insan daripada khilaf agar ia termaaf.

Usah risau andai tandusnya nikmat, tetapi risaulah jika hidup seakan-akan istidraj. Semoga perkongsian yang sedikit ini adalah saham Akhiratku yang kekal.

wassalam.

Ayat-Ayat Cinta
Aku memohon hari yang panas sempurna, agar aku bisa menikmati kenikmatan alam buana. Namun Dia menurunkan petir yang bising.. merenggut harapanku. Dia mentakdirkan gerimis, kemudian hujan yang lebat lagi dingin. Aku hampa kecewa. Ujarku,"Tuhan tidak adil!.. memberiku yang aku tidak mahu." Aku terus bermurung durja. Kedinginan kian suam, gerimis kian menghilang. Kornea mataku menyaksikan transformasi semesta. Aku terpana. Rupa-rupanya Dia ingin mengurniakan aku pelangi yang mempesona. Sungguh menakjubkan ciptaan-Nya. Ujian adalah manifestasi pelangi yang menjadi ayat-ayat cinta-Nya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Mencari Titik Permulaan

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua saya masih dapat bernafas. Dengan kasih sayang-Nya jua seluruh makhluk di muka bumi masih terus bertasbih kepada-Nya.

Di sini ingin saya kongsikan serba sedikit tentang pandangan saya berkenaan pencarian titik permulaan... yang akhirnya membawa kepada titik perubahan dengan izin-Nya. Insya-Allah.

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar cerita tentang pemotong kayu dengan kapaknya? Bagi yang tidak mengetahuinya, suka untuk saya ringkaskan cerita tersebut.

Seorang pemotong kayu setia dengan tugasnya memotong kayu saban hari. Setiap hari hasil kayu yang dipotong meningkat dengan bilangan hari. Barangkali kejayaan ini berpunca dari pengalaman yang bertambah seiring usia.

Namun, pada suatu hari, si pemotong kayu mendapati dia memerlukan lebih masa untuk mendapatkan hasil potongan kayu yang sama. Dicubanya juga untuk terus memotong, namun, hasilnya hampa. Cuma penat dan peluh yang membasahi bajunya.

Akhirnya, dia duduk termenung.. bila difikirkan kembali, bukan isu pengalaman yang menjadi punca kegagalan dia mendapat hasil kayu yang banyak, tetapi kegagalan dia untuk berhenti dan berfikir menjadi penghalangnya untuk berjaya... iaitu kapak yang semakin tumpul.

Ya, berfikir untuk mencari titik permulaan yang membawa perubahan besar.

Mencari punca

Pada pendapat saya, kadang-kala kita sering terlupa isu kecil yang berlaku di sekeliling kita boleh menjadi faktor penghalang kejayaan kita.

Seperti cerita di atas, kegagalan untuk mengasah kapak menjadi punca si tukang kayu kurang penghasilannya. Bagaimana pula dengan kita? Sudahkah diasah nilai kecil yang mungkin signifikan buat kita?

Ingin saya memberi contoh dengan melihat kepada aspek kebahagian hidup. Berapa ramai antara kita yang mencari bahagia? Saya yakin pasti jawapannya ramai, tetapi, pernahkah kita menilai apakah aspek dalam diri kita yang menghalang kita dari bahagia?

Teringat saya pada tazkirah yang diberi oleh Prof. Muhaya di radio IKIM:

"Bahagialah dari dalam dan hasilnya akan terlihat di luar. Bahagialah dengan Allah. Jangan mencari bahagia dari luar."

Jelas di sini, dengan menjadikan material sebagai ukuran bahagia menjadikan kita manusia yang tidak pernah puas, lantas tidak bahagia. Duit, pangkat, harta, kecantikan... semuanya fitrah manusia. Kadangkala, perkara ini menjadi keperluan dan kebanyakan dari kita meletakkannya sebagai kehendak.

Titik permulaan... Titik penentu

Saya pasti kita semua pernah melihat pertandingan larian. Sama ada jarak dekat atau jauh, semuanya bermula pada titik permulaan yang sama. Namun, setiap peserta larian mempunyai visi, motivasi dan kekuatan yang berbeza. Namun akhirnya, hanya ada satu titik penentu iaitu garis penamat di hujung trek.

Begitu jugalah kita sebagai manusia, kita ada seribu satu titik untuk dipilih. Setiap satunya datang dengan cabaran untuk menguji keimanan. Tinggal kita untuk memilih titik mana yang mampu mengubah mimpi menjadi realiti.

Jadi saya menyeru diri dan sahabat-sahabat semua untuk:

1. Mencari apakah pushing factor yang mampu menjadi titik permulaan kita untuk berubah ke arah kebaikan.

2. Tetapkan titik penentu dalam setiap permulaan kita yang pastinya mardhatillah juga menjadi ultimate goal kita.

3. Gerakkan diri dan persekitaran untuk berubah sama ke arah kebaikan. Sebarkan kebaikan, moga dengan izin Allah ia mampu membentuk masyarakat yang cemerlang.

4. Teruskan mengasah "kapak" anda. Andai tiada "pengasah", rujuklah pada pakarnya. Banyakkan bertanya pendapat orang yang faqih dan carilah ilmu sebagai pemangkin anda.

5. Mohon petunjuk dari Allah. Hakikatnya Dia jugalah Penggerak hati kita, maka selayaknya kepada Allah kita mengadu dan berharap.

6. Teruskan bahagia dengan Allah. Rasakanlah kesyukuran itu sebagai penguat terbaik kita untuk terus berusaha.

D + U + I + T

Doa, usaha, ikhtiar dan tawakal... itu penutupnya. Moga Allah redha dengan titik permulaan yang kita pilih. Moga diberi petunjuk terbaik buat kita semua. Apa lagi ditunggu? Carilah titik itu... mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS